
GEORGETOWN – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat menyertai pertandingan golf tahunan Public Gold di Penang Golf Club Bukit Jambul dekat sini hari ini.
Ketibaan Seri Paduka pada 1.45 petang disambut pengerusi Public Gold Group, Datuk Louis Ng Chun Hau.
Baginda kemudian berkenan menghadiri sesi bergambar bersama peserta pertandingan itu sebelum memulakan ‘tee off’ pada 2 petang.
Pertandingan anjuran Public Gold Group, syarikat yang menawarkan kepelbagaian dagangan emas itu, diadakan buat kali kedua dan disertai 110 peserta terdiri daripada pengedar Public Gold dan ahli Penang Golf Club.
Pertandingan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pengedar dengan pihak pengurusan Public Gold selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Seri Paduka dijadual berangkat ke majlis penyampaian hadiah pertandingan itu malam ini.
Public Gold kini mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Singapura, selain turut meneroka pasaran Vietnam dan Timur Tengah dalam usaha membawa jenama itu ke tahap lebih tinggi dan mendapat pendedahan global dan pengiktirafan. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar